“I used to think my life was a tragedy, but now I realize it’s a comedy!”

— Joaquin Phoenix, JOKER (2019).

Untuk mereka yang telah menonton filem JOKER arahan Todd Phillips yang dibintangi pelakon Joaquin Phoenix, nikmati 10 fakta menarik disebalik tabir filem yang bakal mengubah nasib semesta sinematik DC Comics/Warner Bros di persada box office sedunia serta gelanggang anugerah nanti.

Logo SPOILER ALERT WARNING sekiranya anda belum menonton filem JOKER lagi!

Sekiranya anda BELUM menonton filem JOKER lagi, kami mengsyorkan anda untuk tidak membaca artikel ini seterusnya – kerana pelbagai fakta ini mungkin mengganggu kepuasan anda terhadap filem ini.

1. Ditulis Khusus Untuk Phoenix

Pelakon Joaquin Phoenix memang pilihan pertama untuk berlakon di dalam filem JOKER.

Walaupun filem JOKER merupakan kali pertama pengarah-penulis Todd Phillips berkerjasama dengan Phoenix, namun Phillips yang berkerjasama dengan penulis skrip Scott Silver (8 Mile, The Fighter) menulis watak Arthur Fleck/Joker khusus untuk pelakon Joaquin Phoenix yang pernah memenangi pelbagai anugerah lakonan sebelum ini.

2. Diet Ekstrim Joaquin Phoenix

Diet ekstrim yang dilakukan oleh Joaquin Phoenix untuk melakonkan watak JOKER.

Untuk menyediakan dirinya bagi memainkan watak Arthur Fleck/Joker yang kurus keding, pelakon Joaquin Phoenix menyusutkan sebanyak 24 kilogram daripada berat badannya – dengan diet versi ekstrim – memakan HANYA sebutir epal sehari!

3. Jurnal Peribadi Arthur Fleck

Jurnal Arthur Fleck di dalam filem JOKER!

Di dalam filem JOKER, Arthur menyimpan sebuah jurnal peribadi penuh dengan lukisan dan pemerhatiannya – yang direkacipta oleh jabatan prop secara terperinci. Pelakon Joaquin Phoenix sendiri menulis pelbagai entri di dalam jurnal tersebut menggunakan tulisannya sendiri, yang kemudiannya diimbas dan diletak di sekeliling imej-imej grafik di luar tabii ciptaan dua artis produksi untuk filem ini.

4. Inspirasi Tarian Arthur Fleck

Tarian JOKER diinspirasikan oleh pelakon Charlie Chaplin.

Di dalam filem JOKER, penampilan Arthur sebagai Happy the Clown dan pergerakan tariannya sebenarnya diinspirasikan oleh lakonan legenda Charlie Chaplin sebagai watak Little Tramp (1915). Pereka kostum dan pemenang anugerah Academy Award dua kali, Mark Bridges melengkapkan pakaian Happy dengan topi Derby yang kecil untuk membangkitkan imej klasik Chaplin tersebut.

5. Seni Bina Bandar Gotham

Bandar Newark, New Jersey menjadi lokasi bagi Bandar Gotham di dalam filem JOKER.

Filem JOKER berlatarkan bandar fiksyen Gotham City, dan seksyen utamanya yang dikenali sebagai Gotham Square difilemkan di persimpangan Jalan Broad dan Jalan Market di bandar Newark, New Jersey. Lokasi sebenar ini dikenali sebagai The Times Square of Newark; yang mempunyai seni bina dan suasana menyerupai Times Square di New York daripada 40 tahun lepas.

6. Visi Zaman 1970-an

Kereta antik yang digunakan di dalam filem JOKER.

Walaupun filem JOKER berlatarkan tahun 1981, namun pengarah Todd Phillips memilih untuk menggunakan kenderaan daripada zaman 1970-an, kerana pada pendapatnya ia lebih mencerminkan visi retronya untuk filem ini.

7. Props Sebenar Dahulu Kala

Bus usang yang digunakan di dalam filem JOKER.

Untuk babak di dalam filem JOKER dimana Arthur menaiki bas transit Bandar Gotham, ia sebenarnya adalah sebuah bas usang daripada zaman 1970-an yang dipinjam daripada muzium automatif di daerah Jersey Selatan.

8. Keretapi Bawah Tanah Gotham

Babak keretapi bawah tanah di dalam filem JOKER.

Babak-babak di dalam filem JOKER yang memaparkan keretapi bawah tanah sebenarnya difilemkan di landasan keretapi Brooklyn dan Bronx di bandar New York. Unit perfileman melakukan sesi penggambaran di lima stesen berlainan, sesetengahnya ditutup untuk produksi; dan sesetengahnya landasan berfungsi yang dibuka kepada khalayak umum.

Keretapi bawah tanah klasik daripada zaman 70-an dan 80-an yang digunakan di dalam filem JOKER telah dipinjam daripada Muzium Transit Bandar New York, dan dioperasikan oleh kakitangan yang disahkan oleh Metropolitan Transport Authority (MTA).

Peta keretapi bawah tanah Bandar Gotham.

Pereka produksi Mark Friedberg juga telah merekacipta peta transit Bandar Gotham yang jelas tampil dalam latar belakang kebanyakkan babak-babak di stesen keretapi bawah tanah di dalam filem JOKER.

9. Pelakon Ekstra Yang Ramai

Wayne Hall di dalam filem JOKER.

Produksi JOKER telah menggunakan 4,000 pelakon ekstra epanjang sesi penggambaran filem ini. Bilangan pelakon ekstra yang terbanyak di dalam satu babak untuk filem ini adalah babak di luar Dewan Wayne yang menggunakan 455 pelakon tambahan! Pengarah Todd Phillips dan krewnya memfilemkan babak ini di lokasi John F. Kennedy Boulevard, yang lebih dikenali sebagai jalan Fifth Avenue di Bandar Jersey.

Set penggambaran siri televisyen Live With Murray Franklin di dalam filem JOKER

Untuk babak-babak JOKER yang berlatarkan set siri televisyen Live with Murray Franklin, 287 pelakon ekstra telah digunakan untuk menjadi para penonton. Pengarah legenda Don Lee daripada siri televisyen Saturday Night Live terlibat untuk sesi pengambaran babak-babak ini bagi memastikan kesahihan set televisyen zaman 1970-an.

10. Muzik Latar JOKER

Tarian Joker kepada muzik latar oleh Hildur Guðnadóttir.

Muzik latar bagi JOKER teramatlah penting untuk mencipta suasana yang dikehendaki oleh pengarah Todd Phillips untuk filem ini. Phillips berkerjasama untuk pertama kali dengan komposer berbakat daripada Iceland, Hildur Guðnadóttir – yang mula menyumbang muzik latar untuk filem ini sejurus selepas membaca skrip asal JOKER.

#SoalanCepumas

Apakah babak yang anda paling minati daripada filem JOKER? Adakah 10 fakta menarik ini mengingatkan anda tentang mana-mana babak spesifik daripada JOKER?

Bincangkan.

(Sumber Fakta: Warner Bros Malaysia)

21 Shares:
You May Also Like