“By the Power of Greyskull…”

— Prince Adam, HE-MAN AND THE MASTERS OF THE UNIVERSE, (1983).

Ketika wabak pandemik Covid-19 (Coronavirus) semakin menular di seluruh dunia kini, elakkan perasaan bosan terperap dirumah di bawah Perintah Kawalan Pergerakan dengan melayan 5 siri kartun popular daripada zaman 1980-an yang anda pernah ikuti ketika zaman kanak-kanak dahulu!

Untuk mereka yang kurang arif, terdapat pelbagai musim daripada siri-siri kartun popular zaman 1980-an (secara rasmi ataupun tidak rasmi) yang disiarkan melalui saluran YouTube PERCUMA untuk peminat tegar di seluruh dunia. Jom layan sekarang:

#1 G.I. JOE: A REAL AMERICAN HERO

Saluran YouTube rasmi HASBRO telah memuat naikkan tiga arka-cerita terawal (15 episod kesemuanya) siri kartun G.I. JOE: A REAL AMERICAN HERO (Sept 1983 – Nov 1986) menurut kronologi penyiaran asalnya, yang bermula dengan siri kartun mini G.I. JOE pertama – THE M.A.S.S. DEVICE (1983), diikuti siri kartun mini G.I. JOE kedua – THE REVENGE OF COBRA (1984) dan seterusnya lima episod terawal musim pertama G.I. JOE – THE PYRAMID OF DARKNESS (1985).

#Komen5KupangKu – Selain daripada TRANSFORMERS, siri kartun G.I. JOE sememangnya satu-satu siri kartun yang disukai ramai kanak-kanak lelaki pada zaman 1980-an dahulu. ‘Worldbuilding’nya masih relevan walaupun ditonton pada masa sekarang, dan kepelbagaian watak G.I. JOE serta COBRA Command menjanjikan setiap peminat tegar pasti mempunyai watak unik yang digemarinya!

#2 HE-MAN AND THE MASTERS OF THE UNIVERSE

Saluran YouTube HE-MAN OFFICIAL mempunyai 646 video – di mana kebanyakannya adalah episod penuh daripada Musim Pertama (65 episod) dan Musim Kedua (65 episod) siri kartun HE-MAN AND THE MASTERS OF THE UNIVERSE (Sept 1983 – Nov 1985). Malangnya Playlist yang ditawarkan tidak menyusun episod-episod tersebut menurut kronologi asal penyiaran siri kartun ini pada era 1980-an dahulu.

#Komen5KupangKu – Menonton kembali siri kartun HE-MAN ini, aku teruja dengan cara syarikat permainan Mattel menyulamkan dunia fantasi purba Eternia dengan teknologi masa hadapan yang luarbiasa! Bernas betul studio animasi Filmation memastikan percanggahan dua era ini menjadi fantastik untuk ditonton dan tidak canggung langsung…

#3 SHE-RA: PRINCESS OF POWER

Saluran YouTube SHE-RA PRINCESS OF POWER mempunyai 182 video yang memaparkan pengembaraan Princess Adora – adik kembar kepada Prince Adam (He-Man) di Eternia – sebagai watak adiwira She-Ra di dalam siri kartun SHE-RA: PRINCESS OF POWER (Sept 1985-Dis 1986)! Malangnya Playlist yang ditawarkan tidak mempunyai kesemua 88 episod daripada kedua-dua musim SHE-RA mahupun mengikut susunan kronologi penyiaran asalnya…

#Komen5KupangKu – Siri kartun SHE-RA adalah usahasama di antara studio animasi Filmation dan Mattel sejurus selepas kejayaan siri kartun HE-MAN di seluruh dunia. Walaupun hanya sekadar kartun kanak-kanak, worldbuilding tahap epik oleh penulis komik dan TV tersohor J. Michael Straczynski (SENSE8, BABYLON 5, CAPTAIN POWER AND THE SOLDIERS OF THE FUTURE) sememangnya kelihatan di dalam setiap unsur dunia Eternia yang dilindungi She’Ra!

#4 M.A.S.K.

Saluran YouTube M.A.S.K. Facebook Group telah memuat naikkan kesemua musim (75 episod kesemuanya) siri kartun M.A.S.K. (Sept 1985 – Nov 1986) menurut kronologi penyiaran asalnya. Playlist ini bermula dengan Musim Pertama sebanyak 65-episod (1985) yang memfokuskan kepada pasukan Mobile Armored Strike Kommand (M.A.S.K.) membanteras jenayah oleh anasir jahat Vicious Evil Network Of Mayhem (V.E.N.O.M.); diikuti Musim Kedua sebanyak 10-episod (1986) yang berubah haluan memfokuskan kepada dunia perlumbaan automatif versi ‘demolition derby’ diantara M.A.S.K. dan V.E.N.O.M.

#Komen5KupangKu – Siri kartun M.A.S.K. sememangnya agak unik di antara siri kartun zaman 1980-an kerana ia adalah sebuah ‘copycat’ yang cuba meniru kejayaan siri kartun TRANSFORMERS dan G.I. JOE. Dengan cubaan menggabungkan kedua-dua siri kartun ’80an yang berjaya ini menjadi satu – M.A.S.K. adalah ‘hit or miss’ bagi kebanyakan peminat tegar animasi Amerika Syarikat era 1980-an!

#5 BRAVESTARR

Saluran YouTube BRAVESTARR OFFICIAL memuat naikkan 226 video siri kartun BRAVESTARR (Sept 1987 – Feb 1988) yang menampilkan dunia futuristik Space Western dengan protagonis berbangsa Native American, Marshal BraveStarr menjaga keamanan di planet New Texas – bersama kuda/sahabat sejatinya Thirty/Thirty.

#Komen5KupangKu – BRAVESTARR sememangnya satu-satunya kartun pelik daripada zaman 1980-an, dengan kuda yang dapat bercakap dan berkalan di atas dua kaki bagaikan manusia (Thirty/Thirty)… serta lima kuasa kecerdasan binatang yang diseru Marshall Bravestarr setiap minggu. Keunikan genre Space Western ini membuatkan BRAVESTARR lain daripada kebanyakan animasi Amerika Syarikat era 1980-an!

#SoalanCepumas

Sekiranya anda telah menikmati artikel ini, layari artikel-artikel kami yang lain berkaitan dengan topik Dunia Hiburan dan kesan wabak pandemik Covid-19 (Coronavirus) di:

Apakah siri kartun popular zaman 1980-an yang disiarkan secara PERCUMA di laman YouTube yang anda tidak sabar-sabar hendak layan nanti?

Bincangkan.

Nik Nadzru Iskandar

Sebagai seorang peminat tegar komik sejak berumur 11 tahun lagi, isu komik pertama yang mula-mula membakar semangat Nik adalah - The Uncanny X-Men isu #275 (April 1991) - dengan...