Watak SPIDER-MAN daripada Marvel Comics yang dicipta oleh penulis-editor legenda, Stan Lee dan penulis-pelukis tersohor, Steve Ditko mula-mula diterbitkan dalam komik antologi AMAZING FANTASY #15 pada bulan Ogos 1962 – ketika ‘Era Perak Industri Komik’ di Amerika Syarikat.
Pada zaman 1960-an dulu, watak komik berusia remaja kesemuanya sekadar seorang ‘sidekick’ ataupun pengikut kepada adiwira-adiwira yang kebanyakkannya dewasa.
Idea tentang seorang remaja yang menjadi tunggak utama untuk komiknya sendiri mula-mulanya ditolak oleh penerbit Marvel Comics, Martin Goodman pada masa itu. Stan Lee yang keras kepala membantah dan memasukkan watak Peter Parker/Spider-Man di dalam sebuah komik antologi yang bakal dibatalkan – Amazing Fantasy #15.
Memandangkan penjualan isu komik tersebut teramatlah memberangsangkan (penjualan Marvel Comics tertinggi untuk Ogos 1962 dan bulan-bulan seterusnya), watak ini akhirnya mendapat komiknya tersendiri, THE AMAZING SPIDER-MAN #1 yang terbit pada bulan Mac 1963.
Sejak itu, kejayaan seterusnya untuk watak Spider-Man dalam pelbagai pelantar (komik, tv, filem, animasi, permainan video) menjadi sebahagian daripada sejarah kejayaan Marvel Comics.
Filem SPIDER-MAN: FAR FROM HOME bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 4 Julai 2019. Teruskan mengikuti liputan berita terbaru tentang MCU di www.buzzpop.tv!
(Sumber: @GeekQuote)