Anda masih ingat pada pasangan adiwira kembar menerusi siri animasi retro Superfriends satu masa dulu?
Nampaknya mereka bakal membuat kemunculan semula dalam naskah komik mereka sendiri tidak lama lagi! Komik yang dihasilkan di bawah penjenamaan baharu Wonder Comic hasil tulisan Mark Russell dan lukisan Stephen Byrne itu dijangka akan berada di pasaran dalam minggu ini.
Previu eksklusif 5-muka surat komik isu WONDER TWINS #1 boleh anda baca menerusi pautan DI SINI.
Sejak Brian Michael Bendis hadir dan menjadi sebahagian daripada ahli keluarga DC Comics, banyak pembaharuan dan penjenamaan semula telah dilaksanakan seperti Wonder Comics, Jinxworld dan lain-lain lagi termasuk permulaan baharu buat legasi komik Superman.
#Komen2KupangKu – Kami di Buzzpop.tv pula tidak sabar-sabar lagi untuk kemunculan haiwan kesayangan mereka, Si Monyet Gleek!
***
Ramai yang mungkin mengenalinya menerusi sitkom popular Sabrina the Witch Teenage lakonan Melissa Joan Hart atau drama terbaru terbitan Netflix, Chilling Adventures Sabrina.
Namun kini, Archie Comics di bawah penjenamaan Archie Forever sedang bersiap sedia memperkenalkan sebuah siri komik baharu mengenai tukang sihir remaja itu bermula keluaran sulungnya pada 27 Mac 2019 nanti!
Berikutan sambutan yang menggalakkan daripada siri baru Netflix, Archie Comics akan melancarkan siri mini Sabrina, The Teenage Witch versi terkini karya penulis Kelly Thompson dan artis Veronica Fish. Ia bakal meneroka sisi watak yang lebih moden sesuai untuk semua lapisan umur dan kategori. Lebih menarik berdasarkan sumber-sumber risikan kami, cerita kali ini banyak diinspirasikan daripada manga klasik karya legenda Hayo Miyazaki, Kiki’s Delivery Service dan manga Ryoichi Ikegami berjudul Mai the Psychic Girl!
#Komen2KupangKu – Begitulah kuatnya pengaruh anime dan manga Jepun. Sampai juga ke tanah Amerika Syarikat jauhnya sehinggakan menular ke dalam semua budaya pop mereka seperti komik ini!
***
Apabila penulis Paul Dini cuba membentangkan idea dan cerita sempena isu Detective Comics #1000 bulan hadapan, beliau bakal membuat kejutan yang akan menampilkan hampir kesemua penjahat dan penyangak Batman tetapi dengan pendekatan yang sangat berbeza dan lucu.
Berganding bahu dengan bekas kolaborator beliau sebelum ini menerusi komik Batman: Streets of Gotham iaitu Dustin Nguyen, Paul Dini akan hadir dengan sebuah kisah berjudul “The Legend of Knute Brody”. Kisah 8-muka suray itu digambarkan seperti eksposé dokumentari dengan penjahat seperti Harley Quinn, Poison Ivy dan Riddler berkongsi kenangan mereka tentang Knute Brody: Seorang henchman (konco upahan) yang diambil bekerja untuk mereka pada misi dan situasi berbeza.
Akan tetapi ada plot twist dan kelainan dalam kisah Knute Brody.
Beliau tidak dikenali kerana kehebatan atau kemahiran luarbiasanya. Sebaliknya beliau menjadi terkenal kerana keculasan dan kecuaiannya yang sentiasa membawa malapetaka besar kepada penjahat-penjahat Batman tersebut!
Detective Comics #1000 bakal berada di pasaran pada 13 Mac 2019.
#Komen2KupangKu – Macam kelakar nampaknya cerita ini. Itulah yang istimewanya komik apabila sudah sampai edisi istimewa dan khas sempena ulangtahun. Mereka akan berikan yang luarbiasa!