“You know what the problem with a metahuman is? The human part. We got lucky with Superman. He shared our values. The next Superman might not.”
— Amanda Waller, Ketua Task Force X, SUICIDE SQUAD (2016)
TERKINI: Seminggu selepas pengarah kontroversial James Gunn mengumumkan melalui laman Facebooknya barisan pelakon penuh bagi filem DCEU yang bakal dijayakannya – THE SUICIDE SQUAD, kini Gunn mengesahkan melalui laman Instagramnya bahawa sesi penggambaran telah pun bermula!
Sesi Penggambaran Bermula!
Di dalam ruangan komen bagi satu daripada posnya di laman Instagram, pengarah James Gunn menjawab soalan peminat tegarnya yang bertanya sama ada produksi The Suicide Squad bakal bermula pada har Isnin depan (23 September 2019). Menurut Gunn, sesi penggambaran bagi sekuel SUICIDE SQUAD (2016) sudah pun bermula pada hujung minggu ini.
Warner Bros. juga mengesahkan bahawa sesi penggambaran bagi sekuel-reboot ini akan difilemkan di dua lokasi yang masih belum diumumkan setakat ini.
Kepulangan Barisan Pelakon Asal
Selepas pengumuman barisan pelakon penuh oleh Gunn pada hujung minggu lepas, kami amat bersyukur untuk melihat pelakon-pelakon filem asal seperti Viola Davis (Amanda Waller), Margot Robbie (Harley Quinn), Joel Kinnaman (Rick Flag) dan Jai Courtney (Captain Boomerang) kembali bagi sekuel ini.
Namun pelakon Will Smith yang memainkan watak antihero Deadshot pujaan ramai, tidak dapat kembali bagi sekuel SUICIDE SQUAD ini kerana tanggungjawab memasarkan filem aksi terbarunya, GEMINI MAN bersama pengarah tersohor Ang Lee.
Kelibat Jared Leto sebagai Joker juga tidak kelihatan untuk sekuel ini kerana Leto sekarang tengah sibuk sebagai tunggak utama filem antihero Spider-Man, MORBIUS THE LIVING VAMPIRE bersama Sony Pictures di London.
Ahli Task Force X Bertambah!
Kehadiran bakat-bakat baru seperti Nathan Fillion (FIREFLY), Peter Capaldi (DOCTOR WHO), Taika Waititi (JOJO RABBIT), John Cena (BUMBLEBEE), Idris Elba (HOBBS & SHAW) serta Alice Braga (CITY OF GOD) di dalam sekuel ini mengundang pertanyaan terpenting – siapakah watak-watak penjahat DC Comics yang akan mereka mainkan di layar perak nanti?
Berdasarkan skrip asal nukilan pengarah James Gunn, filem sekuel-reboot THE SUICIDE SQUAD dibintangi oleh pelakon David Dastmalchian, John Cena, Jai Courtney, Joaquín Cosío, Nathan Fillion, Joel Kinnaman, Mayling Ng, Flula Borg, Sean Gunn, Juan Diego Botto, Storm Reid, Pete Davidson, Taika Waititi, Alice Braga, Steve Agee, Tinashe Kajese, Daniela Melchior, Peter Capaldi, Julio Ruiz, Jennifer Holland, Viola Davis, Idris Elba, Margot Robbie dan Michael Rooker.
THE SUICIDE SQUAD bakal disiarkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 6 Ogos 2021.
#SoalanCepumas
Adakah sekuel SUICIDE SQUAD ini melupuskan watak Deadshot lakonan Will Smith serta adaptasi Joker lakonan Jared Leto untuk selama-lamanya daripada semesta sinematik DC Comics?
Bincangkan.
(Sumber: @JamesGunn)