“Criminals are a superstitious cowardly lot. My disguise must strike terror. I must be a creature of the night. I shall become a bat!”

— Bruce Wayne, DETECTIVE COMICS #27, (1939).

Pengarah Matt Reeves (francais PLANET OF THE APES, CLOVERFIELD) menggemparkan laman media sosial minggu lepas apabila dia mentularkan pandang pertama pelakon Robert Pattinson (saga TWILIGHT, THE LIGHTHOUSE) sebagai the Dark Knight – bagi filem reboot THE BATMAN (2021).

THE BATMAN Camera Test

Walaupun pandang pertama THE BATMAN (2021) oleh pengarah Matt Reeves tidak sampai seminit pun, namun terdapat 10 inspirasi tersirat daripada adaptasi Batman di dalam dunia komik, televisyen (TV) dan filem yang mempengaruhi filem reboot ini!

INSPIRASI #1 – CAMERA TEST

Sejak pengarah Todd Phillips mula mempopularkan kaedah mentularkan treler acah berbentuk camera test di laman media sosial beberapa hari sebelum sesi penggambaran bakal bermula untuk filem JOKER (2019); filem-filem semesta sinematik DCEU selepas itu – seperti HARLEY QUINN: BIRDS OF PREY (2020) oleh pengarah Cathy Yan dan kini THE BATMAN (2021) oleh pengarah Matt Reeves – pun mengikuti strategi yang sama juga.

View this post on Instagram

Camera test (w/ sound). Joker.

A post shared by Todd Phillips (@toddphillips1) on

JOKER Camera Test
HARLEY QUINN: BIRDS OF PREY Camera Test

Sebab utama strategi ini dipraktikkan adalah untuk memaparkan pandang pertama bagi filem-filem DCEU ini di dalam format HD yang terbaik, kerana mereka sedar bahawa foto dan video yang ditangkap oleh peminat tegar DCEU daripada set penggambaran (berkualiti rendah menggunakan fon pintar) bakal membanjiri laman media sosial.

#Komen5KupangKu – Kebarangkalianya, strategi ini terhasil untuk mengelakkan pelbagai komen dan kritikan negatif dilontarkan kepada pihak produksi seperti kes di mana foto watak Starfire disebalik tabir siri TV saluran DC Universe, TITANS ditiriskan di laman media sosial dua tahun lepas…

INSPIRASI #2 – SKOR

Untuk pembaca yang tidak arif, lagu latar yang digunakan bagi THE BATMAN camera test adalah skor asal ciptaan komposer Michael Giacchino (LOST, INCREDIBLES, STAR TREK). Giacchino telah menyiapkan tema utama THE BATMAN sejak bulan Oktober 2019 lagi – sejurus selepas menghabiskan skor bagi filem SPIDER-MAN: FAR FROM HOME.

Amat jelas sekali bahawa inspirasi utama untuk skor Giacchino adalah tema BATMAN (1989) oleh komposer Danny Elfman, tema BATMAN: THE ANIMATED SERIES (1992-1995), serta tema trilogi DARK KNIGHT oleh komposer Hans Zimmer dan James Newton Howard (2005-2012). Kesemua lagu tema ini dari segi teknikal muzik, mempunyai perkembangan kord utama yang serupa (daripada Bbm kepada Gb) — bergerak daripada posisi Minor I kepada Major VI sejenak, sebelum kembali ke posisi Minor I di dalam satu litaran.

INSPIRASI #3 – SUT

Sut Batman yang disarungkan pelakon Robert Pattinson di dalam THE BATMAN camera test mirip bagaikan rekaan sut Batman daripada permainan video BATMAN: ARKHAM ORIGINS (2013) – terutamanya di bahagian dada serta tekstur perisainya yang tidak sekata.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Seragam besi mirip seperti sut Batman di dalam permainan video ARKHAM ORIGINS.
INSPIRASI | ARKHAM KNIGHT (2013)

Inspirasi ini amat cocok sekali kerana permainan video BATMAN: ARKHAM ORIGINS (2013) dan filem reboot THE BATMAN (2021) memaparkan watak Batman di awal kariernya sebagai seorang adiwira (Batman: Year Two) – yang tidak mempunyai akses kepada kemajuan teknologi tinggi mahupun penggunaan spandex seperti sut-sut Batman yang lepas.

#Komen5KupangKu – Besar kemungkinan, sekiranya filem THE BATMAN (2021) berjaya di pasaran box office sedunia, pengarah Matt Reeves mungkin mempunyai pelannya tersendiri untuk menonjolkan evolusi sut Batman di dalam trilogi baru ini nanti!

INSPIRASI #4 – ‘COWL’

Jelas kelihatan juga bahawa topeng (“cowl”) Batman yang terbaru ini mempunyai definisi di bahagian keningnya – mirip seperti topeng-topeng Batman daripada masa lampau terutamanya versi siri TV BATMAN (1966-1968) lakonan Adam West serta filem pertama BATMAN (1989) lakonan Michael Keaton.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Bentuk 'cowl' yang mirip siri TV BATMAN (1966) lakonan Adam West.
INSPIRASI | BATMAN (1966)

#Komen5KupangKu – Persoalan utamanya adalah sama ada Pattinson bakal menjadi adaptasi Batman pertama versi live-action yang akan mempunyai selaput mata putih sepenuhnya bagaikan versi di halaman komik serta BATMAN: THE ANIMATED SERIES? 🤔

INSPIRASI #5 – KOLAR

Terdapat beberapa kali di dalam sejarah penerbitan Batman di halaman DC Comics di mana adiwira ini menyarungkan kolar besar – pertama sekali pada awal penampilannya di dalam komik DETECTIVE COMICS #27 (1939) oleh pelukis legenda Bob Kane; kemudian di dalam siri komik Elseworlds berjudul BATMAN: GOTHAM BY GASLIGHT (1989) oleh pelukis legenda Mike Mignola yang membayangkan Batman versi era Victorian England pada abad ke-19; serta siri komik BATMAN: WHITE KNIGHT (2017-2018) oleh pelukis berbakat Sean Murphy yang menonjolkan peranan Joker dan Batman diterbalikkan – di mana Batman adalah seorang pengganas yang berleluasa di kancah penjenayah Bandar Gotham.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - 'Collar' Batman bagaikan lukisan asal artis legenda Bob Kane daripada zaman keemasan dunia komik, komik GOTHAM BY GASLIGHT oleh artis berbakat Mike Mignola serta siri komik BATMAN: WHITE KNIGHT oleh artis Sean Murphy.
INSPIRASI | DETECTIVE COMICS #27 (1939), GOTHAM BY GASLIGHT (1989), BATMAN: WHITE KNIGHT (2017)

#Komen5KupangKu – Selain daripada menjadi inspirasi untuk adaptasi Batman yang terbaru, kewujudan kolar ini juga menyelesaikan masalah utama yang dihadapi pelakon-pelakon Batman sejak filem BATMAN (1989) lagi!

Pelakon Michael Keaton dan Christian Bale sering merungut bahawa mereka tidak dapat mengerakkan tengkuk mereka untuk menoleh ke kiri dan ke kanan – kerana mobiliti mereka disekat oleh mantel Batman yang panjang (yang bersambung terus dengan tengkuk dan kepala mereka). 🤣

INSPIRASI #6 – SIMBOL

Untuk pertama kali di dalam sejarah adaptasi Batman versi live-action, simbol kelawar di dada Batman akan kelihatan lain daripada yang lain – kurang anggun daripada simbol-simbol sebelum ini dan lebih kasar bagaikan dipahat sendiri oleh Bruce Wayne.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Logo diperbuat daripada besi pistol yang membunuh ibu bapa Bruce Wayne seperti yang digambai dalam komik DETECTIVE COMICS #1000 oleh penulis tersohor Kevin Smith dan artis legenda Jim Lee
INSPIRASI | DETECTIVE COMICS #1000 (2019)

Bagi pembaca yang kurang arif, cerita pendek berjudul “Manufactured For Use” nukilan penulis-pengarah tersohor Kevin Smith dan pelukis legenda Jim Lee di dalam halaman komik DETECTIVE COMICS #1000 (2019) mendedahkan bahawa Bruce Wayne mencari balik pistol yang membunuh ibu-bapanya dahulu. Wayne kemudian meleburkan pistol tersebut untuk menjadi perisai besi yang tersorok disebalik simbol kelawar di dadanya.

#Komen5KupangKu – Aku amat teruja kerana Reeves menerapkan ‘retcon‘ terbaru kepada mitologi Batman ini ke dalam adaptasi versi live-actionnya – kerana bagi aku, babak ini amat bermakna dan penuh dengan poetic justice! “I’m going to burn the metal that killed my parents and forge it into something useful. So the metal that broke my heart as a child? That same metal will protect my heart as a man. And that is justice!”

INSPIRASI #7 – DAGU IKONIK

Siri TV BATMAN: THE ANIMATED SERIES (1992-1995) yang berasakan rekaan kartunis legenda Bruce Timm, sememangnya terkenal dengan idea bahawa watak Bruce Wayne/Batman mempunyai dagu ikonik bagaikan dipahat oleh batu granit! Timm sering melukis Batman dengan garis rahang (“jawline”) gergasi yang mendada kehadapan, diikuti dengan bibir nipis yang diketap kemarahan…

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Dagu dan 'scowl' mirip bagaikan siri TV 1990-an, BATMAN: THE ANIMATED SERIES!
INSPIRASI | BATMAN: THE ANIMATED SERIES (1992-1995)

#Komen5KupangKu – Nampaknya pemilihan pelakon Pattinson amat cocok sekali untuk menghidupkan ekspresi ‘Resting Bitch Face’ Batman ini – yang mula-mula dipopularkan oleh Timm melalui BATMAN: THE ANIMATED SERIES! 😉

INSPIRASI #8 – ELEMEN MERAH

Ramai peminat Batman yang menonton THE BATMAN camera test minggu lepas berseloka di laman media sosial bahawa ia kelihatan lebih seperti treler acah untuk siri TV terbaru DAREDEVIL lakonan Charlie Cox di Marvel/Netflix dan bukannya treler acah bagi filem reboot Batman yang terbaru.

Rata-rata komentar yang acapkali diungkit adalah warna merah bukannya suatu warna yang sering dikaitkan dengan watak Batman…

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Penggunaan warna merah bagaikan muka depan komik BATMAN: DARK VICTORY nukilan penulis tersohor Jeph Loeb dan artis legenda Tim Sale
INSPIRASI | BATMAN: DARK VICTORY (1999-2000)

Namun sekiranya anda peminat tegar DC Comics, anda pasti diingatkan kepada muka depan komik BATMAN: DARK VICTORY #1 (1999) nukilan penulis tersohor Jeph Loeb dan artis legenda Tim Sale! Siri komik mini sepanjang 14-isu ini adalah sekuel kepada siri komik BATMAN: THE LONG HALLOWEEN dan ROBIN: YEAR ONE – kerana ia menerokai asal-usul Robin serta bagaimana Dick Grayson menjadi anak angkat kepada Bruce Wayne.

#Komen5KupangKu – Itulah jadinya bila membuat komen membabi-buta di laman media sosial tanpa usul periksa dulu… ada ke homage kepada siri komik BATMAN: DARK VICTORY tiba-tiba jadi DAREDEVIL pulak?!😅

INSPIRASI #9 – ELEMEN TOPENG

Bagi pembaca yang kurang arif, filem terakhir yang ditonton oleh Bruce Wayne bersama ibu-bapanya Thomas dan Martha Wayne di pawagam – sebelum mereka terkorban di dalam satu rompakan yang tidak berjaya – adalah filem klasik THE MASK OF ZORRO (1920).

Pada Bruce Wayne yang masih cilik, Zorro melambangkan adiwira yang sempurna – seorang hero yang lahir di dalam kehidupan serba mewah, namun bertungkus-lumus untuk menyelamatkan mereka yang miskin dan tidak bersalah.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - The Mask Of Zorro
INSPIRASI | THE MASK OF ZORRO (1920)

Menurut pelukis legenda Bob Kane, watak Zorro yang popular di media massa sejak tahun 1919 lagi, merupakan pengaruh besar kepada rekaan watak Batman (yang juga memakai topeng dan mantel hitam) di halaman komik DETECTIVE COMICS #27 (1939): “Zorro is the original caped crusader. Before Batman, before Superman, before Wonder Woman there was Zorro!”

#Komen5KupangKu – 102 tahun selepas watak Zorro mula-mula tampil di dalam cerpen “The Curse Of Capistrano” diterbitkan di dalam sebuah majalah pulp di California, pelakon Robert Pattinson bakal menyambungkan legasi adiwira bertopeng memakai mantel hitam di layar perak pada tahun 2021 nanti sebagai THE BATMAN!

INSPIRASI #10 – ‘CAPE’

Rekaan terperinci oleh pelukis DC Comics, Lee Bermejo untuk watak Batman melalui siri komik BATMAN: DAMNED (2018-2019) memaparkan mantel (“cape”) Batman yang amat realistik dibuat daripada kulit lembu (“leather”) sepenuhnya.

Inspirasi THE BATMAN (2021) - Leather cape ala rekaan oleh artis Lee Bermejo untuk siri komik BATMAN: DAMNED
INSPIRASI | BATMAN: DAMNED (2018-2019)

Ini mungkin menjadi sumber inspirasi utama bagi mantel Batman yang dipakai oleh Robert Pattinson di dalam THE BATMAN camera test tempoh hari.

#Komen5KupangKu – Adakah kita bakal menonton Batman pertama di lakon layar yang akan membuat komentar bagaimana keberatan mantel kulit lembu melambatkan pergerakannya ketika membanteras jenayah di Gotham City? 😅

Sekiranya anda telah menikmati artikel ini, layari artikel-artikel kami yang lain berkaitan dengan topik BATMAN, semesta sinematik DCEU dan dunia DC COMICS di:

Filem reboot THE BATMAN oleh pengarah Matt Reeves, yang dibintangi pelakon Robert Pattinson bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 5 Jun 2021.

#SoalanCepumas

Apakah inspirasi-inspirasi tersirat disebalik adaptasi THE BATMAN ini yang anda paling minati? Tema Michael Giacchino? Simbol besi Kevin Smith? Kolar besar Mignola?

Bincangkan.

98 Shares:
You May Also Like