
Pada hari Selasa lepas, AMC Theaters dan laman penjualan tiket wayang di atas talian Fandango.com telah mentularkan jangka waktu untuk filem AVENGERS: ENDGAME sepenuhnya – iaitu 3 jam dan 2 minit. Ini menobatkannya sebagai filem Marvel Cinematic Universe (MCU) daripada Marvel Studios yang terpanjang – 30 minit lebih panjang daripada filem AVENGERS: INFINITY WAR (149 minit) dan CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR (147 minit) yang memegang takhta filem-filem MCU terpanjang sebelum ini.
Dengan ini, AVENGERS: ENDGAME adalah satu daripada tiga filem adiwira dengan kepanjangan melebihi 3-jam di dalam sejarah perfileman Hollywood – dan satu-satunya filem adiwira yang lebih daripada 3-jam di dalam versi wajib tayangnya.
Untuk pembaca yang tidak arif, dua lagi filem adiwira yang kepanjangannya melebihi 3-jam adalah di dalam versi DVD-nya: BATMAN V. SUPERMAN: DAWN OF JUSTICE EXTENDED CUT (2016) sepanjang 3 jam 2 minit dan WATCHMEN: THE ULTIMATE CUT (2009) sepanjang 3 jam dan 58 minit.
AVENGERS: ENDGAME adalah filem MCU keempat yang diarahkan oleh adik-beradik Russo dan yang ketiga yang memaparkan barisan pelakon yang besar. Ketiga-tiga filem MCU arahan adik-beradik Russo (CAPTAIN AMERICA: WINTER SOLDIER, CAPTAIN AMERICA: CIVIL WAR, AVENGERS: INFINITY WAR) kesemuanya mempunyai skor kritik di RottenTomatoes.com setinggi 85% dan penarafan penonton sebanyak 89% atau lebih – dengan jumlah kutipan box office sedunia sebanyak US$4 bilion!
Diarah oleh Anthony dan Joe Russo, filem ini menonjolkan pelakon-pelakon seperti Robert Downey Jr., Chris Evans, Mark Ruffalo, Chris Hemsworth, Scarlett Johansson, Jeremy Renner, Don Cheadle, Paul Rudd, Brie Larson, Karen Gillan, Danai Gurira, Benedict Wong, Jon Favreau, Bradley Cooper, Gwyneth Paltrow dan Josh Brolin.
Filem AVENGERS: ENDGAME bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 24 April 2019. Teruskan mengikuti liputan berita terbaru tentang dunia sinematik MCU di www.buzzpop.tv!