Sekiranya anda sempat menonton treler rasmi pertama dan treler antarabangsa SPIDER-MAN: FAR FROM HOME yang ditularkan dua hari lepas, semestinya anda nampak kelibat tiga hingga empat ‘gergasi’ di dalam treler-treler tersebut dan pelakon Jake Gyllenhaal yang memainkan watak musuh utama untuk sekuel ini, Mysterio !
Edisi #TriviaKomik hari ini akan mengupas dan membincangkan #TeoriBrazil yang berkeliaran di laman media sosial di dalam 48 jam sejak treler-treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME ditularkan.
#TeoriBrazil 1 – ‘Sandman, Molten Man dan Hydro-Man’
Menurut teori peminat tegar MCU bernama @SixoTF di laman Twitter, tiga ‘gergasi’ yang hadir di dalam treler-treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME sebenarnya mewakili musuh-musuh klasik Spider-Man daripada halaman buku komiknya – Sandman, Molten Man dan Hydro-Man !
Petunjuk-petunjuk yang membuatkan teori liar ini tampak munasabah adalah kehadiran kenderaan-kenderaan di dalam babak berdekatan dengan ‘gergasi-gergasi’ ini yang merujuk kepada kali pertama musuh-musuh ini hadir di dalam halaman komik Spider-Man.
Lesen kereta di hadapan Nick Fury di dalam babak ‘gergasi’ pasir hadir di treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME mempunyai nombor plat 463. Adakah ini merujuk kepada isu THE AMAZING SPIDER-MAN #4 yang terbit pada tahun 1963 – isu pertama kali Sandman muncul dalam sejarah penerbitan komik Spider-Man?
Lesen kereta di hadapan MJ di dalam babak ‘gergasi’ api hadir di treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME mempunyai nombor plat 2865 SEP. Adakah ini merujuk kepada isu THE AMAZING SPIDER-MAN #28 yang terbit pada September 1965 – isu pertama kali Molten Man muncul dalam sejarah penerbitan komik Spider-Man?
Lesen kapal di belakang Ned di dalam babak ‘gergasi’ air hadir di treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME mempunyai nombor plat ASM 212. Adakah ini merujuk kepada isu THE AMAZING SPIDER-MAN #212 – isu pertama kali Hydro-Man muncul dalam sejarah penerbitan komik Spider-Man?
Kebarangkalian Teori Ini Benar? 30%
#TeoriBrazil 2 – ‘The Elementals’
Namun, teori liar daripada laman Twitter @getFANDOM pula berpendapat bahawa ‘gergasi-gergasi’ ini sebenarnya adalah antagonis Marvel Comics yang lebih dikenali sebagai The Elementals!
Watak-watak ini pertama kali muncul di dalam komik SUPERNATURAL THRILLERS #8 yang terbit pada Ogos 1974. Namun teori liar ini agak lemah kerana The Elementals tidak pernah bertembung dengan Spider-Man langsung di dalam sejarah lebih daripada 50 tahun komiknya diterbitkan.
Kali terakhir watak-watak The Elementals muncul di dalam Marvel Comics adalah dalam isu Ms. Marvel #12 yang terbit pada Disember 1977.
Kebarangkalin Teori Ini Benar? 5%
#TeoriBrazil 3 – ‘Mysterio’
Teori terakhir ini adalah pendapat penulis sendiri bahawa kesemua anasir-anasir gergasi ini sebenarnya semata-mata permainan silap mata oleh penjenayah Mysterio sendiri!
Di dalam halaman komik SPIDER-MAN, Mysterio (nama sebenar: Quentin Beck) adalah seorang musuh utama yang menggunakan ilusi, kaedah hipnosis serta gajet berteknologi lain untuk menipu Peter Parker serta ‘Spider-Sense’nya daripada mengesahkan apa adalah realiti dan apa adalah fiksyen.
Menggunakan kemahirannya sebagai seorang pakar efek visual dan stuntman (yang tidak berjaya menjadi pelakon utama) di Hollywood, Beck memutuskan untuk menjadi seorang penjahat yang meraihkan kekayaan melalui jenayah dan menghapuskan anasir Spider-Man selama-lamanya.
Berkerjasama dengan editor The Daily Bugle, J. Jonah Jameson yang juga membenci Spider-Man di kota New York, Mysterio pada asalnya dilihat oleh pihak media dan orang ramai sebagai penyelamat kota New York – yang mula membenci Spider-Man kerana berpaling tadah dan mula melakukan jenayah.
Tanpa pengetahuan J. Jonah Jameson serta seluruh kota New York, jenayah-jenayah yang dilakukan oleh Spider-Man sebenarnya Mysterio yang menyamar sebagai Spidey! Dengan cara pelakon Jake Gyllenhaal digambarkan di dalam treler SPIDER-MAN: FAR FROM HOME sebagai seorang hero yang menyelamatkan keadaan di Eropah daripada anasir-anasir gergasi ini – penulis yakin versi MCU ini juga penuh dengan temberang dan gergasi-gergasi tersebut sebenarnya hasil rekaan Mysterio sendiri.
Kebarangkalian Teori Ini Benar? 65%
#SoalanCepumas – #TeoriBrazil manakah yang anda percaya akan berlaku akhirnya di dalam sekuel Spider-Man ini nanti? Bincangkan.
Filem SPIDER-MAN: FAR FROM HOME bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 4 Julai 2019. Teruskan mengikuti liputan berita terbaru tentang MCU di www.buzzpop.tv!