“There’s only one Batman! That’s been said many times and has always been true, for no other man has ever rivaled Batman as a champion of the law, nor matched his superb acrobatic skill, his scientific keenness, his mastery of disguise and detective skill! But now, in one suspenseful surprise after another, Batman finds he has a great rival in the mysterious and glamorous girl…The Batwoman!”

— Kemunculan pertama Batwoman, DETECTIVE COMICS #233 (Julai 1956).

Selami sejarah silam watak Batwoman daripada halaman komik DC Comics sejak tahun 1956 sehinggalah adaptasinya ke kaca televisyen menerusi siri BATWOMAN untuk saluran CW pada tahun 2019.

Agenda Propaganda Anti-LGBTQ Batman

Tahukah anda bahawa watak Batwoman pada asalnya dicipta sebagai agenda propaganda anti-LGBTQ oleh DC Comics untuk membuktikan bahawa Batman bukan gay?

Untuk pembaca yang tidak arif, watak asal Batwoman – Kathy Kane – membuat kemunculan pertamanya di dalam halaman komik Detective Comics #233 (Julai 1956). Tujuan kewujudannya adalah untuk menjadi pasangan romantik Batman, bagi melawan tohmahan oleh penulis dan pakar psikiatri Frederic Wertham di dalam bukunya Seduction of the Innocent (1954) bahawa Batman dan sidekick remajanya Robin mempromosikan gaya hidup gay sebagai simbol LGBTQ kepada pembaca kanak-kanak.

Di dalam halaman komik ini, Kathy Kane adalah pewaris kekayaan yang tidak terhingga dengan latar belakang luar biasa sebagai seorang bekas ahli sarkas. Kane membuat keputusan untuk menggunakan kemahiran atletiknya untuk menjadi seorang pembasmi jenayah berkostum seperti Batman.

Selepas beberapa penampilan di halaman komik DC Comics, Batwoman akhirnya menjadi sekutu utama Batman dan Robin untuk membasmi jenayah pada zaman 1950-an.

Pada tahun 1961, anak saudara Kathy yang bernama Betty Kane membuatkan kemunculan pertamanya di dalam halaman komik Batman #139 (April 1961), sebagai sidekick Batwoman yang bernama Bat-Girl. Maka ahli keluarga Bat Family bertambah lagi dan watak Robin juga mendapat pasangan romantiknya yang tersendiri!

Kemunculan Barbara Gordon, Batgirl!

Apabila editor DC Comics legenda, Julius Schwartz mengambil alih komik Batman dan Detective Comics pada 1964, satu daripada keputusan pertama yang dilakukannya adalah untuk memberhentikan watak Batwoman dan Bat-Girl daripada terus diterbitkan lagi. Schwartz adalah sebuah editor bervisi yang bertanggungjawab di dalam terciptanya watak Barbara Gordon, anak perempuan kepada Pesuruhjaya Gordon yang akhirnya menyarung topeng Batgirl – watak sampingan Bat Family yang popular sehingga sekarang.

Untuk pembaca yang tidak arif, watak Kathy Kane sebagai Batwoman kembali di dalam halaman komik Batman pada tahun 1979, namun dibunuh pada tahun yang sama oleh musuh legenda Batman – The League of Assassins yang diketuai oleh Ra’s Al Ghul!

Batwoman: Sepanduk Utama LGBTQ DC Comics

Berdekad kemudian sekepas kematian watak Kathy Kane, syarikat DC Comics memperkenalkan watak terbaru bernama Batwoman – Kate Kane – yang membuatkan kemunculan pertamanya di dalam halaman komik 52 #7 (Julai 2006). Berdasarkan rekaan asal Batwoman daripada tahun 1956, artis tersohor Alex Ross merekacipta sebuat kostum Batwoman yang baru – penuh dengan pilihan kontemporari yang lebih moden dan canggih.

Menjelang tahun 2006, penerimaan masyarakat Amerika Syarikat kepada komuniti LGBTQ telah berubah sejak kemunculan pertama Batwoman pada zaman 1950-an. Jika watak Batwoman yang asal dicipta sebagai pasangan romantik untuk membuktikan bahawa Batman bukan gay, namun kini syarikat DC menampilkan watak Batwoman yang terbaru sebagai seorang lesbian dan sepanduk utama LGBTQ di semesta DC Comics.

Sejak kemunculan pertamanya di dalam halaman komik 52, Kane adalah seorang lesbian yang mempunyai hubungan erat dengan pegawai polis Bandar Gotham, Detektif Renee Montoya.

Kejayaan Batwoman Alaf Baru

Watak baru Batwoman – Kate Kane yang kini merupakan saudara Bruce Wayne – berjaya menambat hati pembaca komik di seluruh dunia. Daripada menjadi kameo utama selama 10-isu di halaman komik Detective Comics (Jun 2009), Kane akhirnya mendapat siri komiknya yang tersendiri pada tahun 2011.

Siri komik ini menerima pujian baik daripada pihak pengkritik dan pembaca tegar francais Batman, kerana penceritaan yang hebat daripada penulis Greg Rucka dan hasil seni yang menarik daripada artis J.H. Williams III.

Daripada Halaman Komik Ke Kaca TV

Kini, watak Kate Kane sebagai BATWOMAN bakal ke kaca televisyen anda menerusi saluran CW setiap hari Isnin. Mulai 6 Oktober 2019, musim pertama Batwoman tampil sebagai satu daripada siri televisyen Arrow-verse bersama Supergirl, Arrow, The Flash, Black Lightning dan Legends of Tomorrow.

Selepas kemunculan Batwoman di dalam siri crossover ELSEWORLDS tahun lepas, apakah peranan yang bakal dimainkannya di dalam siri crossover CRISIS ON INFINITE EARTHS pada hujung tahun ini nanti?

#SoalanCepumas

Apakah pendapat anda tentang episod pertama BATWOMAN S01E01 yang disiarkan melalui saluran CW semalam? Adakah watak ini berjaya memenangi hati anda seperti siri televisyen CW yang lain – Supergirl, Arrow, The Flash, Black Lightning dan Legends of Tomorrow?

Bincangkan.

Nik Nadzru Iskandar

Sebagai seorang peminat tegar komik sejak berumur 11 tahun lagi, isu komik pertama yang mula-mula membakar semangat Nik adalah - The Uncanny X-Men isu #275 (April 1991) - dengan...