Berlainan daripada filem CAPTAIN MARVEL yang terbit minggu lepas di pawagam seluruh dunia, watak Captain Marvel pertama di dalam sejarah Marvel Comics yang terbit pada komik MARVEL SUPER-HEROES #12 (Dis 1967) sebenarnya adalah Dr. Walter Lawson a.k.a. Captain Marvel, seorang panglima Kree bernama – Mar-Vell.

Untuk pembaca-pembaca yang telah menonton filem CAPTAIN MARVEL, semestinya anda ketahui bahawa Marvel Studios telah menukar jantina mentor pertama Carol Danvers menjadi wanita – Dr. Wendy Lawson a.k.a. Mar-Vell, seorang saintis Kree yang mahu mengakhiri Peperangan Kree-Skrull dengan membina teknologi ‘lightspeed’ untuk puak Skrulls.

Diperkenalkan dalam isu MARVEL SUPER-HEROES #13 (Mac 1968) oleh penulis tersohor Roy Thomas dan artis legenda Gene Colan, watak Carol Danvers adalah Ketua Sekuriti di pangkalan tentera di mana saintis Kree, Mar-Vell/Dr. Walter Lawson beroperasi.

Kelainan utama diantara watak Carol Danvers versi Marvel Comics daripada watak Carol Danvers versi Marvel Studios adalah – versi komiknya ditulis sebagai bakal kekasih kepada Doctor Walter Lawson/Mar-Vell a.k.a. Captain Marvel!

Selepas Carol Danvers tertangkap di dalam sebuah letupan bersama Captain Marvel/Mar-Vell/Dr. Walter Lawson pada isu CAPTAIN MARVEL #18 (Nov 1969), sel-selnya telah bergabung dengan panglima Kree ini – memberi Danvers kuasa-kuasa Captain Marvel juga!

Di dalam filem CAPTAIN MARVEL sebaliknya, Carol Danvers menerima kuasanya hasil terdedah kepada letupan teknologi ‘lightspeed’ ciptaan Mar-Vell/Dr. Wendy Lawson – yang berunsurkan Infinity Stone, Tesseract – serta proses pemindahan darah dengan Yon-Rogg, musuh ketat Mar-Vell dalam semesta Marvel Comics.

Watak Carol Danvers mendapat komiknya sendiri dengan isu MS. MARVEL #1 (Jan 1977) dan akhirnya menjadi seorang ahli Avengers pada isu THE AVENGERS #171 (Mei 1978) sebagai adiwira bernama Miss Marvel. Dalam kariernya di semesta Marvel Comics, Danvers juga pernah mengambil nama adiwira seperti Binary dan Warbird.

Pada bulan Julai 2012, Carol Danvers akhirnya mengambil nama Captain Marvel sebagai sebuah penghormatan kepada Mar-Vell/Dr. Walter Lawson yang sudah meninggal – selepas Captain America meyakinkan Danvers bahawa ini adalah harapan terakhir yang dikehendaki oleh Mar-Vell. Selepas 44 tahun terbit dalam semesta Marvel Comics (1968-2012), watak Carol Danvers akhirnya menerima nama adiwira, CAPTAIN MARVEL.

#Komen5KupangKuDaripada sekadar watak sampingan dan bakal kekasih Mar-Vell, Carol Danvers telah melalui evolusi selama 51 tahun ini untuk menjadi adiwira terunggul Marvel Studios di kutipan box office sedunia!

Nik Nadzru Iskandar

Sebagai seorang peminat tegar komik sejak berumur 11 tahun lagi, isu komik pertama yang mula-mula membakar semangat Nik adalah - The Uncanny X-Men isu #275 (April 1991) - dengan...