“Jellicle cats come out tonight
Jellicle cats come one, come all
The jellicle moon is shining bright
Jellicles come to the jellicle ball!”

— The Jellicle Ball, CATS, (2019).

Pendapat jujur penulis sejurus selepas menonton tayangan media CATS awal minggu ini:

Apabila mengadaptasikan muzikal kepada filem, kebanyakkan pengarah memilih untuk memfokuskan kepada medium penceritaan dengan dendangan lagu sebagai penyeri di antara babak seperti THE GREATEST SHOWMAN, LES MISERABLES dan CHICAGO.

Sebaliknya, pengarah Tom Hopper (The King’s Speech, Les Misérables) memilih untuk memfokuskan kepada dendangan lagu sepenuhnya – dengan hanya beberapa babak lakonan diantaranya untuk meneruskan plot. Sebuah babak lagu diikuti sebuah babak lagu diikuti sebuah babak lagu diikuti sebuah babak lagu diikuti sebuah babak lagu diikuti sebuah babak lagu…

Mimpi ngeri CATS terngiang-ngiang di minda penulis sehingga hari ini!

Sejujurnya, ia bagaikan mimpi ngeri menonton filem SONIC THE HEDGEHOG versi CGI palat disulamkan dengan sebuah episod kemuncak Akademi Fantasia ataupun Gegar Vaganza … 😅

Teknologi Versi Teater ’80-an Vs Versi Filem ’10-an

Acapkali ketika menonton filem ini, penulis tertanya-tanya mengapakah pengarah Tom Hooper tidak menggunakan rekaan set, efek praktikal dan kemajuan mekap zaman ’80-an – sebaliknya memperhambakan diri kepada teknologi CGI zaman sekarang?

Bila teknologi pementasan 1980-an lebih bagus daripada teknologi filem 2019

CGI yang caca marba membuatkan seolah-olah kepala penari/pelakon bagaikan belon yang melayang-layang di tengah skrin berwarna hijau – berasingan daripada aksi badan penari/pelakon yang sedetik lebih lambat bertindak balas kepada pergerakan kepala…

Kesimpulannya, teknologi pementasan zaman 1980-an jauh lebih berjaya daripada apa yang cuba disampaikan Hopper di dalam adaptasi filem ini. Namun, jika Hopper memilih teknologi pementasan zaman 1980-an, apakah kelainan filem ini dengan menonton CATS di teater sahaja? 🤔

Asal-Usul CATS (1981)

Sekiranya anda kaki muzikal, teater dan tarian…Anda akan amat teruja dengan adaptasi ini sehinggakan terkesima menonton Idris Elba versi Furry!

Adakah anda terkesima dengan Idris ‘Furry’ Elba?

Manakala, jika anda tidak pernah mengetahui tentang pementasan teater muzikal CATS (1981) nukilan legenda Andrew Lloyd Webber yang berdasarkan buku puisi T.S. Eliot yang berjudul Old Possum’s Book of Practical Cats (1939); anda akan terkapai-kapai bagaikan Bangsa Final yang baru masuk pawagam untuk tonton AVENGERS: ENDGAME ataupun STAR WARS: THE RISE OF SKYWALKER tanpa menonton filem-filem yang sebelumnya. 😑

Barisan Pelakon CATS (2019)

Syukurlah penyanyi pop Taylor Swift dan Jennifer Hudson menyerikan keadaan dengan penampilan solo mereka! Walaupun Swift hanya tampil untuk satu babak sahaja, namun ia berjaya menaikkan kembali semangat penonton ketika 2nd act yang amat merudum.

Perwatakan Jennifer Hudson sebagai Grizabella pula satu-satunya penampilan terbaik di dalam filem ini, serta dendangan lagu Memories oleh Hudson adalah sebab utama anda patut bertahan sampai penghujung filem ini!

Walaubagaimanapun, penampilan James Corden dan Rebel Wilson amat mengecewakan. Watak Corden dan Wilson tiada motif di dalam filem ini, selain daripada memparodikan kegemukan mereka – satu bersaiz besar kerana malas (Wilson) dan satu lagi besar kerana kaki melantak (Corden).

Babak paling pelik di dalam filem CATS!

Babak muzik yang memperkenalkan watak Rebel Wilson (Jennyanydots) sememangnya adalah babak paling pelik di dalam filem ini – menonjolkan pelakon-pelakon cilik sebagai kumpulan koir tikus dan askar lipas yang menjadikan snek untuk Wilson!

Selain daripada cara bersahaja Wilson memakan manusia-lipas diskrin, saiz tikus dan lipas yang tidak sama kadar dengan kebesaran pelakon-pelakon manusia sebagai kucing membuatkan penulis tertanya-tanya sama ada efek CGI ini dilakukan oleh intern yang tidak berbayar? 🤔

Kesimpulan

Filem CATS bakal disiarkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 26 Disember 2019. Hanya disyorkan untuk peminat tegar teater muzikal CATS yang asal, kaki teater, muzikal dan tarian.

NOTA: Penghargaan filem adalah suatu topik yang subjektif, anda disarankan cuba menonton filem ini sendiri untuk menjiwainya. Tepuk dada, tanya selera! 😉

Rating: 1/5 Kucing Kerong 😻

Nik Nadzru Iskandar

Sebagai seorang peminat tegar komik sejak berumur 11 tahun lagi, isu komik pertama yang mula-mula membakar semangat Nik adalah - The Uncanny X-Men isu #275 (April 1991) - dengan...