Menggunakan trend #10YearChallenge yang menular di laman media sosial kebelakangan ini (rujuk: #10YearChallenge Aquaman, MCU, Deadpool dan King Orm), pihak produksi i sebalik ZOMBIELAND 2 mengambil kesempatan ini untuk mendedahkan judul sebenar, barisan pelakon yang pulang serta poster pertama untuk sekuel yang ditunggu ramai ini!

Pengarah Ruben Fleischer (VENOM) pulang untuk menjayakan filem ZOMBIELAND: DOUBLE TAP berdasarkan skrip asal yang ditulis oleh Paul Wernick dan Rhett Reese (DEADPOOL, DEADPOOL 2) – memaparkan barisan pelakon asal seperti Woody Harrelson, Jesse Eisenberg, Emma Stone dan Abigail Breslin kembali beraksi 10 tahun kemudian.

Menurut ura-ura sinopsis setakat ini, sekuel ZOMBIELAND akan melibatkan kuartet yang disayangi ramai kembali menjelajah Amerika Syarikat yang penuh kacau-bilau – di mana mereka akan bertarung dengan segerombolan zombi berevolusi, jumpa sekelompok manusia yang terselamat dan hadapi masalah normal yang dihadapi apabila empat orang cuba bersatu sebagai sebuah unit keluarga yang erat.

Dua pelakon baru kepada saga ZOMBIELAND juga telah diumumkan secara eksklusif oleh portal Deadline Hollywood – pelakon Rosario Dawson dan Zoey Deutch yang akan memainkan watak-watak misteri setakat artikel ini diterbitkan.

Filem ZOMBIELAND: DOUBLE TAP bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 10 Oktober 2019. Teruskan mengikuti liputan berita terbaru tentang Zombieland di www.buzzpop.tv

Nik Nadzru Iskandar

Sebagai seorang peminat tegar komik sejak berumur 11 tahun lagi, isu komik pertama yang mula-mula membakar semangat Nik adalah - The Uncanny X-Men isu #275 (April 1991) - dengan...